TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

REVIEW TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR 2023

Assalam wbt dan Hai, Sebenarnya, kami memang rajin juga bawa anak-anak pergi berjalan-jalan. Jadi sajalah nak kongsikan kepada pembaca tempa...

1 Jun 2020

Memori Abah Datang Lawat Aku di MRSM

Assalam wbt dan Hai,


Hari ini aku saja nak bercerita tentang memori abah melawat aku di MRSM Jasin. Masa zaman sekolah, aktiviti melawat adalah suatu aktiviti yang sangat rare! Memang rasa dia berbeza kalau kena panggil dengan PA System. 



"Pelajar bernama XXXXX, sila turun ke pondok pengawal kerana ada pelawat sedang menunggu".

Hari itu hari Jumaat, aku rasa mungkin semasa di Tingkatan 4 masih seorang yang noob dan baru hendak membiasakan diri di sekolah menengah atas. Untuk pertama kali dalam hidup abah melawat aku. Gembira bukan kepalang apabila nampak kelibat abah di pondok pengawal. Yeay !

Beberapa hari sebelum itu, aku ada menelefon mak dan mengadu yang aku kekurangan seluar untuk program Hari Sukan sekolah tetapi aku tidak menyangka pula abah sanggup datang dan membawa beberapa helai seluar untuk aku. Alhamdulillah. Hilang rasa rindu. Hari Jumaat terasa singkat bersama abah. Abah datang ke sekolah dengan menaiki bas, bukan bas ekspres tetapi bas lompat-lompat atau bas ting-tong kami panggil sebab bunyinya ting tong apabila loceng ditekan tanda hendak turun bas. Abah gerak pada awal pagi dan tiba pada waktu solat Jumaat.

Abah membawa bekal makanan dari rumah, mak masakkan makanan kegemaran kami adik-beradik iaitu daging ungkep dan nasi panas. Walaupun nasi sudah sejuk tetapi aku makan dengan berselera sekali. Abah suruh makan di hadapan dia, mungkin sebab rindu aku tetapi malu nak meluahkan. Hihi. Jadi aku makan dengan seleranya sampai habis. 

Alhamdulillah lagi... Ya Allah atas memori ini.

Dalam pukul 2 petang macam itu mungkin, abah hendak bertolak pulang ke rumah. Aku melambai jauh. Masa salam tangan, cium tangan abah memang nangis. Sedih sangat. 


Sekarang semuanya tinggal kenangan kerana abah sudah tiada.
Al Fatihah (dibaca)
Semoga syurga untuk abah.

No comments: