Tuesday, 14 November 2017

ABAH IDOLAKU

Assalam.


ABAH IDOLAKU (tajuk hari ini semuanya huruf besar kerana ia sangat penting bagiku)

Aku dedikasikan cerita ini kepada, 
Mak kami, Puan Salmah bt Kasman
Adik beradik kami
1) Siti Salha
2) Fara Ummaina
3) Khalid Nor
4) Nor Ziha

“itulah tidak mahu ikut system abah! Kalau ingat system abah, mesti sudah berjaya”
Ayat itu berlegar di kepalaku. Kini hanya kenangan yang tinggal. Beliau, abahku sudah kembali ke rahmatullah. Hari ini, tanggal 27 februari 2017, genap empat tahun pergi meninggalkan kami. tidak dapat aku kongsikan apa yang aku kecapi kerana Perginya abah ketika aku baru mula-mula berkerja dan majlis persandingan aku hanya berbaki tiga bulan.

gambar selfie terakhir abah. aku curi-curi MMS masa abah telah dikomakan pada tahun 2013, beberapa hari sebelum abah meninggal dunia.

Abah idolaku. Tanpa abah, aku tidak seperti aku yang sekarang.

Beliau sanggup tidak makan setiap hari kerana ingin memastikan kami adik beradik tidak berlapar. Beliau sanggup bekerja di bawah terik matahari hanya kerana mahu memastikan kami boleh belajar di sekolah. Abah pernah berkerja sebagai buruh binaan. Abah pandai melukis pelan rumah seperti AutoCAD tetapi versi lukisan tangan mengikut skala sekarang. Bijak bukan? Rumah kami juga adalah rumah yang abah reka. Oh ya, masjid di kampong kami, bahagian tempat wuduk di Masjid Kampung Parit Jayus Seri Medan juga adalah rekaan abah yang masih dikekalkan hingga kini.

Apabila kami meningkat remaja, banyak perbelanjaan yang perlu ditanggung. Jadi abah mesti berkerja makan gaji supaya memastikan setiap bulan ada pendapatan tetap. Abah tidak malu untuk memohon perkerjaan sebagai seorang pengawal keselamatan. Dahulu masa zaman aku bersekolah di sekolah menengah, apabila ibu dan bapa seseorang itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dan penoreh getah, itu bermaksud dia adalah keluarga yang susah. Aku adalah salah seorang daripadanya. Aku bangga memberitahu semua orang, abah berkerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Batu Pahat iaitu Wansern Form. Sehingga kini jika kami lalu di hadapan kilang ini, aku akan menyebut, “ini kilang abah”.



Aku tidak boleh  bayangkan bagaimana abah boleh tahan dengan perubahan waktu tidur kerana pekerjaan itu memerlukan sesi siang dan sesi malam secara bergilir-gilir. Setiap hari, abah mungkin berjalan kira-kira 5 kilometer untuk memastikan kilang tersebut selamat daripada gangguan pencuri atau perompak. Kakinya sakit dan perutnya lapar ketika pulang ke rumah tetapi abah tidak pernah merungut. Ada kalanya juga abah mengadu sakit kaki, tetapi kami faham abah sangat penat. Kami sebagai anak-anak mestilah membuat perkara yang menyenangkan hati abah.

Dengan bergaji RM1,300 sebulan, abah gunakan untuk membeli kereta. Kereta bagi kami adalah satu nikmat dunia yang hebat. Ini kerana selama bertahun-tahun kami hanya menunggang motosikal ke sana ke sini. Datangnya hujan, berbaju hujanlah kita. Datangnya terik, berpeluh-peluhlah kita. Alah bisa tegal biasa. Apabila ahli keluarga bertambah, kereta itu penting untuk memuatkan ramai orang, juga boleh membawa barang-barang, sebab itu abah tidak kisah untuk membelinya. Kami tersenyum

Dengan bergaji RM1,300 juga, abah membuat pinjaman bank untuk memperbesar bahagian dapur rumah. Rumah kami rumah lama, rumah tinggalan datuk dan nenek daripada sebelah abah. Usia rumah juga jauh lebih tua daripada umur abah. Jadi dengan duit itu, abah membeli barang asas konkrit dan perabot untuk keselesaan kami. Abah sangat kretif, abah adalah arkitek rumah kami. Mak dan kami adik beradik pula membantu dari segi tenaga. Hasilnya rumah kami antara rumah tercantik di dalam kampong. Kami tersenyum.



Yang paling aku tertarik tentang sikap abah ialah abah tidak pernah mengeluh jika tidak cukup wang. Pantang ada orang datang ke rumah menjaja barang kecil-kecilan seperti makanan atau pakaian, pasti abah membelinya. Kadang-kadang kami marah juga sebab sudahlah tiada duit, tetapi perlu juga bagi kepada orang lain. Abah kata, seelok-eloknya kita perlu berkongsi rezeki dengan orang lain. Dalam gaji kita ada rezeki orang lain.

Abah sangat garang. Abah mendidik kami berdisiplin. Setiap hari, ada jadual menutup tingkap, jadual menonton televisyen, jadual belajar, jadual bermain dan segala jenis jadual. Kalau hendak disenaraikan tidak boleh itu, tidak boleh ini, mungkin boleh mencecah puluhan muka surat. Abah mahu kami menggunakan masa sebaik mungkin. Hidup dengan abah memang banyak pantang larang dan menjaga disiplin. Garangnya abah bertempat. kami juga pernah dirotan. Rotan abah digantung di kawasan tempat tidur, seakan-akan menjadi mata-mata. Waktu aku kecil, semua perkara ini merimaskan tetapi apabila menginjak usia, baru aku faham. Semua ini kesan untuk jangka panjang. Kami tersenyum.

Aku mahu juga cerita perkara yang aku tidak akan lupakan. Jika kami makan, kami tidak boleh bising kerana sesiapa yang bising, abah akan tuangkan sepinggan sambal pedas ke atas kepala dia. Aku pernah kena. Memang pedih mata tetapi memang salah aku sebab mengadu makanan tidak sedap. Adik beradik juga pernah kena.

Abah juga sangat pentingkan pelajaran. Abah mengajar kami membaca Alquran selepas selesai menunaikan solat maghrib. Jika berkesempatan, abah memeriksa buku sekolah kami. Kami juga disuruh membaca sifir kuat-kuat, seorang demi seorang. Hari ini hafal sifir 2, besok kami perlu hafal sifir 3, begitulah seterusnya. Aku ingat lagi, abah juga yang menemankan aku pada hari pertama persekolahan darjah 1. Abah juga di sisi aku semasa hari pendaftaran di sekolah berasrama dan juga ketika di university. Abah sentiasa ada pada hari-hari pentingku.

Walaupun abah Nampak garang tetapi abah sayang anak-anaknya, abah menaiki bas dari batu pahat ke jasin semata-mata ingin mengirimkan seluar aku yang tertinggal, abah menuliskan surat sewaktu aku pertama kali menjejakkan kaki ke asrama, abah menelefon aku setiap lima minit jika aku sudah hamper dengan stesen bas, tujuannya supaya aku tidak tertidur apabila tiba di destinasi. Abah juga tidak pernah lupa ikan tongkol masak kicap, keledek goreng dan cucur kelapa adalah menu kegemaranku.  


gambar abah ketika muda bersama kakak kami yang sulung.

Abah sanggup berkorban. Waktu aku diterima masuk ke sekolah berasrama, abah merendahkan diri, meminjam wang untuk membayar yuran dan keperluan sekolah. Waktu aku diterima masuk ke universiti, abah sekali lagi menebalkan muka meminjam wang. Harapannya cukup tinggi untuk melihat aku Berjaya. Semua yang abah lakukan menjadi pemangkin untuk aku belajar bersungguh-sungguh. Hadiahnya, keputusan aku cemerlang pada setiap peperiksaan penting dan aku juga tidak perlu membayar semula pinjaman pelajaran. Nasihat dan didikan abah sangat besar ertinya buat aku. Kini aku sudah bekerja sebagai seorang jurutera.






Abah sudah buat yang terbaik untuk kami, Cuma aku belum cukup membalas jasa. Aku masih ingat semua kata-katanya, perbuatannya, kebaikannya supaya aku terus bersemangat dan terus maju. Tanpa abah, aku tidak seperti aku yang sekarang. Terima kasih abah ! Semoga abah tenang di sana. 


Aku tidak mahu cerita yang sedih-sedih kerana hari ini hari lahir abah, 14 November. Bagaimana pula cerita inspirasi anda?


..........................................
Nota kaki,
Prudential BSN Wealth Advisor (Yazid Yohani +6017-2000349)

No comments :