TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

REVIEW TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR 2023

Assalam wbt dan Hai, Sebenarnya, kami memang rajin juga bawa anak-anak pergi berjalan-jalan. Jadi sajalah nak kongsikan kepada pembaca tempa...

6 Sept 2023

Mukjizat Rasulullah (Bahagian 2): Dipayungi Lelaki Misteri

Assalam wbt,

Hari ini kita sambung Sirah Rasulullah Bahagian 2, Dipayungi Lelaki Misteri

Khadijah binti Khuwailid ialah ahli perniagaan Makkah yang terkenal. Khadijah memiliki harta kekayaan yang banyak. Selain harta kekayaan yang diperolehi hasil usahanya sendiri, dia mewarisi kekayaan yang ditinggalkan oleh suaminya yang sudah meninggal dunia.

Seperti kebiasaan apabila tiba musim berniaga ke luar Makkah, para pedagang dan saudagar Makkah akan mengupah petugas yang diyakini bagi membawa serta menjual barang-barang mereka. Begitu jugalah dengan Khadijah binti Khuwailid. Dia sangat berbesar hati apabila Abu Talib menawarkan anak saudaranya (Nabi Muhammad SAW) untuk membawa barang-barang dagangannya.

Khadijah tidak berfikir panjang lagi. Memang dia sangat memerlukan orang yang jujur, baik budi pekerti dan amanah seperti anak saudara Abu Talib itu.

Bagi memudahkan urusan perjalanan dan di tempat berniaga, Khadijah menugaskan seorang pembantu khas yang bernama Maisarah ikut serta bersama rombongan dagang itu. Antara tugas Maisarah ialah menguruskan makan minum, tempat rehat dan keselamatan sepanjang perjalanan.

Apabila hari semakin panas, anggota rombongan lain yang bergerak bersama mereka mula menunjukkan tanda-tanda keletihan. Tetapi keadaan Nabi Muhammad SAW tidak pula begitu. Baginda tenang sahaja, sedikit pun tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan. Malah Baginda lebih kuat dan bertenaga berbanding anggota rombongan yang lain. Wajah Baginda tidak berpeluh, sebaliknya bersih dan sentiasa berseri dengan senyuman. Maisarah berasa hairan melihat keadaan Nabi Muhammad SAW.

Ketika leka memikirkan keanehan yang disaksikannya itu, Maisarah dikejutkan dengan satu lagi kejadian yang tidak masuk akal. Maisarah jadi bertambah hairan. Dia bertanya kepada orang lain, adakah mereka juga nampak apa yang dia nampak.

"Tidak. Kami tidak nampak apa-apa pun," jawab mereka. "Jangan-jangan kamu berkhayal?" tambah mereka lagi.

"Tidak. Saya tidak berkhayal. Memang saya nampak jelas dengan sepasang mata saya ini," balas Maisarah dengan bersungguh-sungguh.

Keesokan harinya, Maisarah melihat lagi perkara yang sama. Dia melihat dua orang lelaki melindungi Nabi Muhammad SAW daripada panas matahari. Mereka berada di kiri dan kanan Nabi. Anehnya, kaki kedua-dua lelaki itu tidak mencecah bumi. Menjelang petang, apabila cuaca sudah tidak lagi panas, kedua-dua lelaki itu tidak lagi kelihatan.

Pada keesokan harinya, dua orang lelaki yang tidak dikenali itu muncul lagi. Mereka terus melindungi Nabi daripada panas matahari. Maisarah menyaksikan kejadian pelik itu selama tiga hari. Dia mahu bertanyakan hal itu kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi apabila berhadapan dengan Baginda, mulutnya seolah-olah terkunci.

Allah SWT memelihara dan melindungi kekasih-Nya sejak Nabi belum ditabalkan menjadi rasul secara rasmi. Semua kejadian aneh yang berlaku adalah tanda-tanda menunjukkan kehebatan dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW.



Terima kasih. 

No comments: