Assalam wbt dan Hai,
Maaf panjang dan gambar di upload kemudian.
Mula-mula fikir nak buat entry satu-satu tetapi saya kurang ada idea. Jadi, saya tulis terus karangan menyeluruh. Pada mulanya, rancangan asal Mahabbaten, kami perlu ke Madinah dahulu, tetapi last minute, kami perlu menunaikan umrah terlebih dahulu. Selepas selesai semua urusan umrah, saya setuju yang kita pergi ke Mekah terlebih dahulu adalah lebih baik daripada ke Madinah. Sebabnya di Mekah, kerja kita umrah dan beribadat sahaja, memang penat sangat-sangat, sangat. Jadi di Madinah, kita boleh relax dan chill dan melawat berziarah Rasulullah dengan tenang dan aman.
Jika kalian hendak memilih pakej, pilihlah yang menawarkan Hotel Safwah kerana kedudukan Hotel Safwah sangat dekat dengan pintu masuk Masjidil Haram, dekat dengan Kaabah. Sangat dekat, 50m sahaja!
BAHAGIAN DI MEKAH
16/2/2022 - Rabu
Mandi sunat ihram pagi-pagi. Tiga solat sunat didirikan iaitu Solat Sunat Ihram 2 Rakaat, Solat Sunat Taubat 2 Rakaat dan Solat Sunat Musafir 2 Rakaat. Kami bergerak ke KLIA dalam jam 12:00 tengah hari. Kami solat jamak taqdim di Masjid KLIA dekat dengan Movenpick Tabung Haji.
Ada sedikit masalah teknikal, flight ditangguhkan dari jam 8:20 malam kepada jam 9:20 malam waktu Malaysia. Sempat kami solat jamak qasar, fardhu Isyak dan Maghrib di dalam kapal terbang, kami perlu ambil wuduk dengan air spray dan kapal sudah hadap qiblat, jadi solat duduk saja. Kami niat di miqat, di Qarnul Manazil. Semasa di dalam kapal terbang, Ustaz Don ada bagitahu lagi sejam, lagi 30 minit kami akan melintasi Qarnul Manazil. Begitu. Tiba sahaja di Qarnul Manazil, kapten kapal bagitahu kemudian Ustaz Don membacakan niat ihram umrah dan niat ihram umrah bersyarat. Mula sahaja membaca niat, maknanya kami tertakluk dengan 13 pantang larang umrah. Hati-hati.
17/2/2022 - Khamis
Umrah ke-1 (Miqat di Qarnul Manazil)
Tiba di Airport Jeddah dalam jam 1:30 pagi. Airport Jeddah tak berapa ramai orang sebab airport umrah dan haji sahaja. Mudah sangat. Kami check out dari Imegresen Arab Saudi, ambil beg dan tunggu bas, jadi dalam jam 3:30 pagi baru gerak ke hotel. Jam 4:30 pagi tiba di Hotel Safwah 50m daripada pintu masuk ke Masjidil Haram. 5:30 pagi kami check in dan solat subuh di bilik. Jam 7:00 pagi, kami sarapan dahulu di hotel.
Pukul 8:00 pagi kami perlu tunggu di hadapan WC3 (toilet lelaki), untuk bersedia nak menunaikan Umrah pertama kami. Apabila Ustaz Megat, Ustaz Anas, Ustaz Taufiq dan Ustaz Aiman sudah tiba, kami bergerak berkumpulan. Kami ikut mutawif Ustaz Megat. Ustaz Megat sebenarnya Imam Muda Musim ke-3 tetapi oleh sebab kami memang jarang tonton tv, jadi kami tak kenal Ustaz Megat. Kami masuk beramai-ramai.
Berdebar-debar nak tengok Kaabah. Pertama kali menjejakkan kaki ke dataran di hadapan Kaabah, memang automatik terus menitiskan air mata. Syahdu rasanya. Untuk pertama kali menunaikan umrah ini, kami hanya mengikut Ustaz Megat. Selepas 7x tawaf, kami solat sunat tawaf 2 rakaat. Kemudian, kami Saie di tingkat kedua bersama Ustaz Don. Yang kalini memang best sangat, sebab Ustaz Don bacakan doa sepanjang ke Bukit Safa dan ke Bukit Marwah. Selesai Saie, kami bertahallul atau bergunting. Ustaz Don dan Ustaz Megat membacakan doa untuk kami. Alhamdulillah.
Kami pulang ke hotel dan makan tengah hari. Petangnya kami membeli nombor prepaid Mobily (bunyinya Mobaili) harganya 90 Riyal seorang. Nombor ini penting untuk mendaftar Tawakalna dan Eatamarna.
Malamnya kami masih di hotel sebab kami belum dapat gelang biru, dan juga belum dapat mendaftar aplikasi Tawakalna + Eatmarna. Susah hati betul masa itu. Kami risau saja tidak dapat slot Rawdah jika lewat sangat mendaftar. Kami masa itu tidak tahu, kami boleh saja solat di Tingkat 1 Masjidil Haram tanpa gelang biru dan tanpa aplikasi. Tiada sesiapa beritahu kami.
18/2/2022 - Jumaat
Kami menunaikan solat Subuh di bilik juga sebab kami belum tahu pasal boleh solat di Tingkat 1 Masjidil Haram tanpa gelang biru dan tanpa aplikasi. Tiada sesiapa beritahu kami.
Pukul 9:00 pagi kami diminta berkumpul di WC3 untuk Ziarah Dalam Masjidil Haram dengan Ustaz Don. Ustaz Don mula berdoa dan majlis dimulakan. Ustaz Don cerita tentang sejarah Masjidil Haram, di mana rumah asal Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, dan disuruh kami bayangkan bagaimana perjalanan Rasulullah ke rumah sahabat baginda. Dan seterusnya Ustaz Don juga mengulang kembali cerita yang semalam, semalam kan kami join Ziarah Dalam Masjidil Haram dengan Ustaz Don. Pengulangan untuk kami tapi seronok dengar. Alhamdulillah. Pukul 10:30 pagi, kami bergambar dengan perpustakaan yang dulunya menjadi tempat kelahiran Rasulullah SAW beramai-ramai.
Oleh kerana hari ini hari Jumaat, kami tidak mahu melepaskan peluang untuk solat Jumaat di Masjidil Haram. Alhamdulillah kami datang awal dalam jam 11:00 pagi. Di sini agak pelik. Jam 12:00 (setengah jam sebelum mausk waktu), bilal azan Zohor. Kemudian khutbah, doa. Jam 12:30+ semasa sudah masuk waktu solat Zohor, azan sekali lagi. Kemudian sambung doa sikit, iqamah dan solat. Saya pun tak berapa faham. Yang penting susunannya pelik sikit daripada di Malaysia, mungkin kerana mazhab yang berbeza.
Hari Jumaat, kami solat di Masjidil Haram. Alhamdulillah, sampai ke Isyak. Lepas Isyak balik, makan.
19/2/2022 - Sabtu
Umrah ke-2 (Miqat di Jaaranah)
Pagi itu, kami solat Subuh di Masjidil Haram di tingkat 1. Oleh sebab hari itu kami perlu keluar awal, kami mengambil keputusan untuk membeli sarapan pagi di luar iaitu Nasi Arab Unta. Memang sedap sangat! Harganya cumalah 30 Riyal. Balik, cepat-cepat sarapan dengan Mak di hotel.
Pada 7:30 pagi kami sudah berkumpul di lobi. Hari itu kami dibawa pergi Ziarah Luar Masjidil Haram. Kami melawat kawasan Haji iaitu Muzdalifah, Mina, tempat membaling Jamrah, dan sekitarnya. Mutawif hanya bercerita di dalam bas sahaja. Memang jauh sangat betul, dari tempat kita tinggal nak ke satu-satu tempat. Masya Allah tak dapat bayangkan betapa banyaknya berjalan.
Di Bukit Arafah kami berhenti sebentar, ada perkongsian dengan Ustaz Don kemudian diakhiri dengan bacaan doa. Seterusnya kami dibawa ke Jaaranah untuk niat di Miqat Jaaranah. Alhamdulillah Ustaz Don membacakan niat dan kami ikut sahaja. Selepas itu, kami dibenarkan untuk mendaki Bukit Arafah dan makan aiskrim. Sempatlah kami daki rendah saja, menyentuk Bukit Arafah di mana Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim, Nabi Adam ada di sini. Ambil berkat.
Tiba di hotel semula, kami berwuduk semula. Dan selepas makan, dalam jam 2:30 petang baru kami masuk ke Masjidil Haram, bergerak bersama-sama masuk ke dataran Kaabah. Sewaktu kami sedang mengerjakan Saie dari Bukit Marwah ke Bukit Safa, azan Asar berkumandang, lalu kami berhenti sebentar untuk menunaikan solat Asar berjamaah. Ada garis-garis saf di situ. Pastikan jemaah lelaki berada di saf lebih hadapan. Alhamdulillah kami bersama Ustaz Megat lagi sehingga bertahallul. Memang agak penat hari itu, selesai lebih kurang jam 5:30 petang. Kami memilih untuk pulang ke hotel untuk mandi dan merebahkan badan sebentar.
Saya dan mak solat Maghrib di hotel dan Abg Ajid solat Maghrib di Masjidil Haram. Saya tidur sebentar kemudian bila terbangun, saya pergi ke Rooftop Masjidil Haram. Saja melihat pemandangan dari sana. Hanya satu pintu saja dibuka untuk menuju ke Rooftop kerana banyak pembinaan yang sedang dijalankan. Eskulator agak sempit dan bahaya saya kirakan. Jika kalian datang dalam waktu terdekat ini, saya kira untuk orang berumur tidak berapa sesuai untuk ke sini sebab paling susah semasa selesai solat, lebih ramai daripada biasa.
Selesai solat Isyak, kami pulang dan tidur di hotel.
20/2/2022 - Ahad
Umrah ke-3 (Miqat di Qarnul Manazil)
Kami diajak pergi ke Taif. Kedudukan Taif dari Masjidil Haram adalah lebih dua marhalah, iaitu dalam 92km. Jika kita berjalan lebih dua marhalah keluar dari Tanah Haram, kita perlu menunaikan Tawaf Wada terlebih dahulu. Ingat ya, selepas selesai Tawaf Wada, kita tidak boleh solat di Masjidil Haram dan tidak boleh membeli apa-apa di kawasan kita tinggal (boleh beli di hotel kita sahaja - maksudnya lobi hotel sahaja). Oleh kerana kita melakukan Tawaf Wada pada waktu sebelum Subuh, Ustaz Aiman dan Ustaz Megat menyarankan kami supaya kami melaksanakan 6 pusingan tawaf wada sahaja, berhenti sebentar untuk solat Subuh. Kemudian selepas solat Subuh, sambung semula 1 pusingan. Jarak berhenti Tawaf Wada hanyalah sekadar dua rakaat solat, tidak boleh terlalu lama.
Waktu ini, jemaah disarankan membuat umrah dari Qarnul Manazil sekembali dari Taif kerana mengikut syarat masuk ke Mekah dengan ihram. Jika jemaah tidak menunaikan Umrah miqat Qarnul Manazil, jemaah tidak boleh menunaikan umrah seterusnya. Jika hari seterusnya tiba-tiba berubah niat untuk menunaikan umrah lagi, maka dia perlu membayar dam sebanyak 350 Riyal. Namun umrah berikutnya itu sah dan tiada masalah.
Pada pukul 7:30 kami berkumpul di lobi dan bergerak ke Taif. Taif adalah bandar di sebelah datuk baginda, Manaf. Baginda cuba untuk mengadu dengan suku di Taif kalau-kalau mereka boleh membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah. Namun, penduduk Taif tidak mahu menerima baginda dan membaling batu, sampai luka-luka baginda. Ketika itu baginda ditemani oleh Zaid bin Harithah, anak angkat baginda. Selebihnya kita cerita nanti ya.
Di Taif, kami hanya naik bas sahaja dan Mutawif, Ustaz Arif Ashraff menceritakan sirah di Taif. Kami singgah solat sunat tahyatul masjid di Masjid Ibnu Abbas. Masjid Addas dan Masjid Kuuk hanya nampak bukit batunya sahaja, kami tak boleh lalu di kawasan itu. Masjid Addas ialah sempena sahabat Rasulullah, beliau yang menerima Islam ketika baginda berdakwah di Taif. Di saat orang lain tidak menerima, hanya Saidina Addas yang menerima yang waktu itu beliau seorang hamba dan memberi segugus anggur kepada Rasulullah. Masjid Kuuk pula masjid di mana Rasulullah bersandar sebentar di sini kemudian ada sebiji batu hendak mengikut baginda tapi baginda tidak izinkan, jadi terapung-apung batu itu. Untuk mengelakkan fitnah dan sihir, batu itu disandarkan dengan batu-batu lain. Jika batu-batu itu dirobohkan, sebenarnya boleh nampak ada sebiji batu yang terapung. Masjid Ibnu Abbas, dimana Saidina Abdullah bin Abbas disemadikan. Malangnya maqamnya sudah diratakan, kalau kita masuk masjid, memang sudah tidak nampak pun. Kemudian, kami diajak pergi ke kedai menjual kacang, gula-gula, perfume dan air teh. Beli juga sikit-sikit. Selepas itu, makan tengah hari di sebuah restoran.
Selesai makan, otw kami singgah di kedai buah di tepi jalan, rambang mata dibuatnya. Dapat rasa buah free. Hehe. Okay selesai..... kami diajak ke Masjid Qarnul Manazil. Dalam kapal terbang hari itu, kami niat miqat dari atas udara, sekarang melalui jalan darat pula. Alhamdulillah selesai solat tahyatul masjid dan solat jamak taqdim Zohor Asar.
Dalam pukul 5:00 petang kami tiba di hotel. Kami pergi menunaikan umrah sendiri dalam jam 5:15 petang selepas selesai solat Asar di Masjidil Haram. Jadi kami bersedia masuk ke dataran hadapan Kaabah dan solat Maghrib Isyak di situ. Isyak di sini jam 7:30 malam begitulah.
Selesai menunaikan solat Isyak, dalam jam 7:45 malam, kami memulakan tawaf umrah dan Saie. Memang agak lewat juga. Dalam jam 9:30 malam baru Umrah ke-3 kami selesai. Cepat-cepat kami ke dewan makan. Alhamdulillah masih dibuka terus kami makan. Sebab itu untungnya duduk di Hotel Safwah insya Allah memang tidak akan habis makanan.
Sebenarnya ada sesi ke Gua Hirak hari itu, tetapi kami memilih untuk tidak menyertai dan berehat di hotel sahaja.
21/2/2022 - Isnin
Umrah ke-4 (Miqat di Hudaibiyah)
Kami diajak pergi ke kawasan Hudaibiyah. Jam 9:00 pagi, kami ke Wadi Hudaibiyah, yang diterajui oleh orang Malaysia. Ada beberapa aktiviti di situ seperti menunggang kuda, menunggang unta, petting zoo (kucing, keldai, ayam, burung), aktiviti memanah dan makan sarapan pagi (nasi lemak). Kemudian, kami ke Masjid Hudaibiyah. Di sini Ustaz Don ada berkongsi cerita tentang perjanjian Hudaibiyah, dalam peristiwa Fathul Mekah, pembukaan kota Mekah. Tapak asal tempat perjanjian sudah dipindahkan di sebelah, beberapa langkah saja. Kami solat 2 rakaat di situ.
Kami niat miqat di dalam bas dengan Ustaz Arif. Di dalam bas, ustaz ada cerita serba sedikit tentang sejarah di sekitar kawasan Hudaibiyah.
Kami tiba di hotel pada jam 12:00 tengah hari. Kami solat Zohor di hadapan Kaabah. Ya Allah memang panas betul. Kami menyantuni Rasulullah macam mana baginda pergi berperang pada waktu panas. Walaupun suhu cuma dalam 25 darjah, tetapi panas dan kering kan, memang panas betul. Mak hampir hendak pitam mungkin. Selesai solat Zohor, kami memulakan tawaf umrah dalam jam 1:10 petang.
Kami selesai Umrah ke-4 dalam jam 2:30 petang. Ada sejam lagi masuk waktu Asar iaitu 3:30 petang. Jadi kami mengambil keputusan untuk pulang ke hotel. Tempat makan sudah ditutup, jadi kami beli makanan tengah hari pada hari itu. Cepat-cepat bawa pulang ke hotel kemudian cepat-cepat mandi.
Waktu solat Asar, kami solat di masjid. Oleh sebab aku mengantuk sangat-sangat, saya tertidur antara Asar dan Maghrib. Kami solat berjemaah Maghrib di kawasan under roof tetapi menghadap Kaabah di tingkat bawah. (ada tingkat bawah, tingkat 1, tingkat 2 dan roof top). Selesai solat Maghrib, saya bawa emak pulang ke hotel.
Waktu solat Isyak, saya kembali solat Isyak di Masjidil Haram. Kemudian, kami makan di hotel bersama-sama. Waktu itu emak sudah tidur. Emak makan makanan tengah hari yang masih ada tadi, katanya sudah kenyang.
22/2/2022 - Selasa
Kami solat Subuh di Masjidil Haram hari itu. Sedih sebab hari terakhir di Mekah. Aku solat tahajjud di dataran Kaabah. Ya memang staff Masjid suka halau-halau kami. Setiap kali mereka halau, aku akan tawaf sekali, kemudian berhenti solat. Kemudian aku tawaf lagi, berhenti solat. Dan berterusan sampai waktu Subuh. Alhamdulillah Subuh di hadapan Kaabah. Syahdu sangat rasa nak menangis.
Kami booked waktu Umrah pada jam 12 tengah hari untuk Tawaf Wada. Moga ini bukan tawaf terakhir kami dan bukan ziarah terakhir kami ya Allah. Kami pergi menunaikan tawaf wada selepas selesai menunaikan solat Zohor. Setelah selesai tawaf wada, jalan biasa kami lalu ditutup, jauh pula kami menapak. Tengok-tengok whatsapp, kami perlu memulangkan kunci hotel pada jam 2:00 petang. Gelabah betul. Jadi saya berlari dengan mak. Kasihan mak kerana perlu mengikut saya. Saya sudah menyuruh mak saya jangan berlari tetapi mak saya takut sesat jadi lari jugalah. Risau saya. Rupa-rupanya tiada orang lagi ! Penat juga berlari. Huhu.
Selesai tawaf wada, kami tidak boleh membeli barang di kawasan tanah haram dan tidak boleh solat di Masjidil Haram lagi. Oh ya, tidak boleh tidur juga. Susah untuk aku yang suka tidur. Pukul 2:30 petang kami disuruh berkumpul, iaitu selepas selesai makan tengah hari. Cepat-cepat kami makan. Naik saja bas dalam jam 3:30 petang, abg Ajid dan mak tertidur, sedar-sedar jam 4:30 petang rupa-rupanya kami belum gerak pun kerana ada jemaah yang masih belum menyelesaikan Tawaf Wada. Tidak pasti kenapa. Oh ya, kami ada dua pilihan untuk ke Madinah, iaitu sama ada dengan bas ataupun dengan keretapi berkelajuan tinggi itu.
KAMI BERGERAK KE MADINAH. ASSALAMUALAIKA AYYUHANNABIYU WARAHMATULLAHIWABARAKATUHU YA RASULULLAH....
No comments:
Post a Comment