Assalamualaikum wbt dan Hai
Kami bergerak dari Mekah pada jam 4:30 petang iaitu sesudah waktu Asar. Oleh itu, kami tidak boleh qasarkan solat Asar. Bas bergerak tanpa henti sehingga jam 6:00 petang belum juga berhenti. Jadi kami solat sekadar hormat waktu sahaja sebab kami pun tidak tahu di mana arah qiblat. Pada jam 6:20 petang, bas pun berhenti. Maka memang kena qada solat Asar. Di R&R tempat kami berhenti, terdapat surau yang agak besar. Alhamdulillah kami menunaikan solat qada Asar dan solat Jamak Taqdim di situ. Saya tidak solat jamak tetapi hanya menunaikan solat Maghrib. Saya fikir mahu solat Isyak di Masjid Nabawi nanti. Selepas selesai solat, makan malam disediakan di restoran berdekatan. Kenyang perut kami, memang tak pernah lapar sepanjang umrah.
Kami tiba di Madinah dalam jam 10:30 malam. Agak lewat juga. Kami check in hotel, kemudian angkat beg, mandi membersihkan diri, sedar-sedar sudah jam 11:30 malam. Kami cuba juga menuju ke Masjid Nabawi. Staff masjid sangat strict, susah juga nak masuk tapi akhirnya saya dapat masuk juga walaupun hanya iktikaf sebentar di dataran luar sahaja. Solat sunat 2 rakaat kemudian duduk merenung Masjid Nabawi. Saya nak tahu dimanakah Rasulullah, tak sabar nak jumpa Tuan Tanah, nak jumpa Rasulullah. Jauh saya berjalan menuju ke pintu 16 tetapi kelihatan tiada orang jadi saya patah balik.
Selepas Covid, Masjid Nabawi, bukan tempat kita boleh masuk bila-bila. Selepas jam 9 malam, masjid akan menjadi tempat yang restricted, orang tertentu saja boleh masuk (ada temu janji slot Rawdah, ziarah Rasulullah, atau lawatan dengan Muasassah. Seawal jam 4:00 pagi baru dibuka kepada orang ramai semula.
BAHAGIAN DI MADINAH
23/2/2022 - Rabu
Awal pagi lagi seawal jam 4:30 pagi kami sudah tiba di Masjid Nabawi. Selesai solat Subuh, saya dan Mak berjalan-jalan ke arah Babussalam iaitu Pintu Pertama. Alhamdulillah nampak kubah Hijau. Gembira bukan kepalang. Terharu semua, tak sangka akhirnya kita bertemu ya Rasulullah. Saya selalu berselawat kepadamu ya Rasulullah, ya Habiballah, insya Allah Rasulullah mengenali saya tatkala saya sampai di Babussalam.
Setelah selesai memberi salam kepada Rasulullah, kami pulang bersarapan. Jam 9:30 kami berkumpul di lobi hotel untuk ziarah dalam Masjid Nabawi. Ustaz Anas dan Ustaz Megat membawa kami mengelilingi Masjid Nabawi. Sekali lagi kami pergi melawat Rasulullah. Ustaz Megat mengetuai kami dalam memberi salam kepada Rasulullah, Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar. Selepas itu, Ustaz Megat bercerita serba sedikit tentang sejarah Kota Madinah. Selesai dalam jam 10:30 pagi.
Oleh kerana masih terlalu awal, jadi saya, bang Ajid dan Mak pergi memberi salam sekali kepada Rasulullah. Kali ini salamnya lebih panjang. Syahdu lagi, menangis lagi. Kami juga mengambil gambar dengan kubah hijau. Terharu sungguh. Selesai memberi salam, kami pulang ke hotel.
Kami solat Zohor di Masjid Nabawi kemudian pulang makan tengah hari. Masjid Nabawi seperti Masjid Seri Sendayan, Masjid Putra, Masjid Besi; iaitu orang akan ramai ketika waktu solat sahaja. Bukan seperti di Masjidil Haram memang semua orang stay dalam itu macam tidur pun dalam masjid.
Kami solat Asar di Masjid Nabawi, kemudian kami mencari pintu menunggu nak masuk Rawdah wanita, rupa-rupanya hanya tunggu di Pintu 25 sahaja, dan bergerak ke dalam hingga ke Rawdah wanita. Kami stay sehingga waktu Maghrib dan tidak pulang antara waktu Maghrib dan Isyak. Selesai Isyak, kami makan malam dan rehat.
24/2/2022 - Khamis
12:30 malam, kami sudah sedia mandi untuk masuk Rawdah. Slot rawdah kami jam 2:00 pagi. Kami memilih waktu itu kerana tidak ramai orang. Saya dan mak bergerak ke Masjid Nabawi. Pegawai di pintu masuk masjid sangat strict, sepatutnya dia tidak benarkan kami masuk tetapi kami cuba lagi dan lagi sebanyak 3 kali akhirnya dia membenarkan kami masuk. Kami bagi alasan yang ustaz menyuruh kami ready 1 jam awal di sini.
Entry tentang Rawdah, saya tulis khas di sini.
Selesai solat sunat di Rawdah, kami pulang ke hotel semula untuk tidur sebelum masuk waktu Subuh. Waktu Subuh, kami solat di Masjid Nabawi di bahagian dataran luar sahaja kerana kami perlu sarapan pagi lebih awal. Hari itu kami akan dibawa berziarah di sekitar Madinah.
Dalam pukul 8:00 pagi, kami berkumpul di lobi. Kami siap-siap wudhuk di hotel. Destinasi pertama kami ialah Masjid Quba.
Mafhum hadith :
"Barangsiapa yang berwudhu' (dari rumah) dan solat di Masjid Quba' akan memperoleh ganjaran 1 umrah..”
Jika kamu mahukan pahala umrah, Allah bagi kepada kamu. Solatlah 2/4/6 rakaat di Masjid Quba. Pahala mengerjakan 2 rakaat solat sunat seperti sekali Umrah. Masya Allah besar betul ganjarannya. Masjid Quba ini dibina sendiri oleh Rasulullah SAW ketika hijrah ke kota Madinah.
Kemudian, kami melawat sekitar Madinah di dalam bas sahaja iaitu ke Masjid Khandak, Masjid Qiblatain dan Masjid Sabaah. Memang mengantuk sangat untuk saya, jadi saya tertidur. Saya tidak perasan pergi mana, sedar-sedar sudah ada di ladang kurma. Bukanlah pergi ke ladang kurma betul, cuma kedainya sahaja hehe. Kami memborong kurma dan kacang-kacang.
Kemudian, kami dibawa ke Jabal Uhud di mana Rasulullah dan para sahabat Perang Uhud. Alhamdulillah sampai di sana. Ustaz Don bercerita tentang sejarah di sana dan kami ambil gambar beramai-ramai. Gunung Uhud memang besar betul dalam 8km katanya. Jabal Uhud pula hanyalah bukit sahaja, rendah dan boleh didaki. Di suatu sudut, ada Masjid Uhud dan perkuburan para sahabat. Ketika itu, di mana sahabat Rasulullah rebah, di situlah mereka disemadikan. Sayidina Hamzah, ayah saudara baginda juga meninggal dunia di sini ketika Perang Uhud.
Dalam jam 3:30 petang kami pulang ke hotel. Jam 4:00 petang ready untuk solat Asar di Masjid Nabawi. Selesai solat Asar, kami berjalan melawat Rasulullah kemudian ke perkuburan Baqi dari arah jalan raya besar. Alhamdulillah dapat juga sampai, jauh juga ya nak menapak dari pintu 359. Kemudian pulang ke hotel dan mandi.
Waktu Maghrib dan Isyak, kami solat di dalam Masjid Nabawi. Pulang sahaja dari masjid, kami makan. Kemudian, kami perlu menjalankan ujian saringan Covid (swab test). Hanya check tekak sahaja. Alhamdulillah semua jemaah negatif. Harganya 140 Riyal. Selesai swab test, bolehlah rehat di bilik.
25/2/2022 - Jumaat
Pagi ini sebenarnya ada lawatan extra berharga 70 Riyal di sekitar Madinah tetapi kami tidak ikut kerana hari ini ialah hari Jumaat pertama dan terakhir untuk kami pada bulan ini. Kami tidak tahu bila lagi kami akan tiba di sini. Oleh itu kami mengambil peluang untuk solat Jumaat di Masjid Nabawi.
Kami solat Subuh di Masjid Nabawi. Kemudian sarapan. Selesai sarapan, kami rehat sebentar di bilik. Dalam jam 10:00 pagi, Masjid Nabawi sudah dibuka untuk orang ramai. Kami juga bergegas ke sana kerana katanya. lewat daripada jam 10:30 pagi mungkin sudah tidak boleh masuk ke dalam masjid. Iktikaf di dalam masjid memang lama betul. Dekat 2 jam sebelum solat Zohor. Memang kami tidak minum takut terkencing, bukan apa nak dapat slot tempat duduk pun susah, jadi kami perlulah tahankan haus. Mengaji, membaca al-Quran (al-Kahfi) dan mengaji surah-surah lazim yang lain, dan juga membaca doa.
Selesai solat Jumaat, kami rehat di bilik sementara menunggu giliran makan. Di Madinah, tempat duduk agak terhad dan kebanyakan jemaah suka makan selepas selesai solat. Jadi untuk kami, kami pilih untuk relax dahulu dan turun makan kemudian. Dalam jam 2:00 petang baru kami turun makan dan tempat duduk sudah ada. Alhamdulillah. Kemudian rehat di bilik dan menunggu waktu Asar.
Kami solat Asar di Masjid Nabawi, kemudian bergegas pulang kerana perlu tunggu di lobi jam 5:00 petang. Kami akan pergi menghadiri Malam Cinta Rasulullah. Aktiviti ini diadakan di luar hotel iaitu di kawasan Kebun Kurma, tempat kami memborong kurma semalam. Hehe. Dekat sahaja tetapi masih perlu menaiki bas. Kami tiba dalam jam 6:30 petang dan sudah masuk waktu Maghrib. Ustaz Don mengimamkan solat jamak taqdim. Alhamdulillah.
Selesai solat berjamaah, kami bersama-sama membaca yaasin dan tahlil. Kemudian, berselawat, membaca Asmaul Husna dan makan bersama-sama. Sambil-sambil itu semua mutawif dan Ustaz Don sendiri datang dari satu tempat ke satu tempat kami makan (makan bersila) dan berborak. Selesai makan, kami berselawat lagi. Jam 9:30 malam, kami bergerak pulang ke hotel. Esok adalah hari terakhir di Madinah. Sedihnya nak tinggalkan Rasulullah.
26/2/2022 - Sabtu
Kami solat Subuh di Masjid Nabawi. Kemudian rehat di bilik, bersarapan dan kemas barang-barang di bilik. Jam 10:00 pagi perlu meletakkan bagasi kami di hadapan pintu bilik. Bell boy akan membawa beg kami masuk ke dalam bas. Kami perlu bayar 15 Riyal sahaja. Check out jam 2:30 petang. Jadi kami stay sajalah di bilik sehingga masuk waktu Zohor. Kami tidak tahu perihal orang lain sebab kami tidak bercampur dengan mereka. Kami memang fokus untuk beribadah sahaja. Hihi.
Kemudian selesai solat Zohor dalam 1:00 petang, kami menghantar mak untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah. Sedih sungguh. Saya dan Bang Ajid belum lagi sebab kami akan ke sini lagi nanti selepas makan tengah hari. Kami pulang ke hotel untuk makan. Selesai makan, barulah kami check out hotel. Selepas check out, kami kembali ke Masjid Nabawi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah. Doanya lebih panjang, kami duduk menghadap kubah hijau dari jauh. Sedih nangis teresak-esak. Moga ini bukan ziarah terakhir kami.
Saya berkata kepada bang Ajid, kalau ada sesiapa boleh bagi modal kat kita untuk buka warung nasi lemak, saya akan terima tawaran itu sebab bolehlah kami lawat Rasulullah setiap hari. Gembira betul hidup kami. Moga-moga jadi kenyataan satu hari nanti.
Akhirnya pada jam 5:00 petang, kami bergerak keluar dari kota Madinah.
Jam 6:00 petang kami tiba di Airport Madinah. Agak kelam-kabut di sini namun kami berjaya juga check in beg kemudian solat jamak taqdim. Sebenarnya ada bekalan dari travel agency tetapi kami tidak sempat mengambilnya, jadi kami makan di restoran dekat situ. Jam 9:30 malam seperti yang dijadualkan, kapal terbang berlepas ke Malaysia. Alhamdulillah selesai urusan Umrah kami.
27/2/2022 - Ahad
Kami solat Subuh di dalam kapal terbang, hanya solat hormat waktu dan tidak perlu ambil wudhuk. Kami tiba di Malaysia pada jam 11:15 pagi.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment