TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

REVIEW TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR 2023

Assalam wbt dan Hai, Sebenarnya, kami memang rajin juga bawa anak-anak pergi berjalan-jalan. Jadi sajalah nak kongsikan kepada pembaca tempa...

30 Nov 2021

Karangan Warisan Budaya Permainan Tradisional

Assalam wbt dan Hai,

Aku tulis karangan ini untuk pertandingan esei Hari Kebangsaan Tahun 2019 kot, malangnya kalah. Jadi aku letak dalam blog. 

gambar ehsan google

Permainan tradisional merupakan warisan budaya yang tidak ternilai harganya. Ia melambangkan adat dan wajah satu-satu bangsa. Permainan tradisional telah diperkenalkan sejak generasi nenek moyang kita. Antara controh permainan tradisional yang masih dimainkan kini ialah permainan gasing, wau dan congkak. Jika permainan tradisional tidak dipertahankan pastinya generasi muda tidak tahu tentang warisan bangsa mereka sendiri. Namun sejak dua tiga dekad ini dapat kita saksikan betapa permainan tradisional ini semakin dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia dek pengaruh permainan elektronik yang semakin mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat. Mengapakah hal sedimikian berlaku? Oleh itu, kepentingan permainan tradisional ini perlu diuar-uarkan kepada rakyat Malaysia agar permainan ini tetap terlestari sampai bila-bila.

Umum mengetahui banyak kelebihan permainan tradisional ini. Selain sebagai warisan budaya yang melambangkan identity masyarakat, ia juga adalah sebagai alat hiburan untuk mengisi masa lapang terutamanya jika dimainkan secara berkumpulan. Sebagai contoh, permainan baling selipar, galah panjang dan sepak raga. Kita dapat lihat, permainan tradisional boleh mengeratkan tali silaturrahim bukan dengan ahli kumpulan sahaja malah dengan ahli kumpulan lawan.  Ia juga dapat mengurangkan tekanan seseorang dan menyuhatkan tubuh badan. Permainan tradisional ini juga rata-rata sangat menjimatkan. Kebanyakan bahan asasnya daripada benda di sekeliling kita seperti tuju selipar memerlukan selipar, konda kondi memerlukan ranting kayu dan ting ting hanya memerlukan kawasan lapang. Jika kita lihat pula daripada sudut sector pelancongan. Program yang dianjurkan seperti Festival layang layang yang baru diadakan di Johor Bahru tempoh hari, juga Pesta Wau Antarabangsa yang diadakan di Kelantan tahun lalu mampu menarik minat pelancong dari luar negara. Secara tersiratnya, berlaku aliran masuk wang asing ke dalam negara. Izharlah di sini bahawa terdapat banyak kelebihan permainan tradisional yang kita perlu ambil berat kerana tak kenal maka tak cinta.

Jadi siapakah yang perlu melestarikan permainan tradisional ini agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas?

Meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah peranan ibu bapa dalam mempertahankan permainan tradisional ini agar tidak lenyap begitu sahaja. Ibu dan bapa boleh menghadiahi anak mereka set permainan tradisional seperti congkak dan bola sepak raga semasa sambutan hari jadi mereka atau apabila mereka Berjaya dalam peperiksaan. Jadi di waktu senggang, gunakan masa untuk bermain bersama dan hubungan kekeluargaan juga bertambah erat.  Jangan jadi seperti laporan di akhbar Utusan dua tahun lepas, permainan elektronik sebagai pengasuh kedua. Dek kerana kesibukan kerja, anak-anak seawal setahun sudah diberikan telefon pintar. Penggunaan alat elektronik terlalu lama dalam sesuatu tempoh memberi kesan kepada otak dan system fizikal anak-anak. Adakah kita mahukan anak kreatif dan cergas, atau kita mahukan anak yang kretif tetapi lemah tubuh badan? Anak-anak ini ibarat kain putih, kita yang perlu mencorakkannya. Justeru, bermulalah dari sekecil-kecil setahun, didik anak untuk bermain secara fizikal seperti permainan tradisional untuk melatih otak dan meningkatkan kecergasan tubuh badan.

Seperti yang sedia maklum, rata-rata Peranan pihak kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan mesti memainkan peranan. Program Cintai Permainan Tradisional contohnya perlu dianjurkan supaya rakyat mampu menyelami dan mempelajari permainan tradisional secara mendalam. Sebenarnya ia hendaklah giat dijalankan bermula di peringkat kementerian dahulu diakhiri peringkat sekolah. Tanpa kerjasama daripada kesemua pihak, kempen ini pastinya hanya di atas kertas sahaja. Contoh penganjuran pertandingan adalah seperti permainan catur dan gasing. Jika kita mempunyai dana dan sokongan yang penuh, pertandingan seumpama ini mampu diketengahkan ke peringkat dunia seterusnya mengharumkan nama Malaysia. Ia juga dapat menunjukkan kepada orang ramai bahawa permainan elektronik yang tumbuh bagai cendawan itu setaraf kehebatannya dengan permainan tradisional.

Sokongan daripada media massa juga perlu dititikberatkan. Perihal permainan tradisional perlu dihebahkan melalui radio, majalah, televisiyen, surat khabar dan media sosial membantu membuka mata rakyat Malaysia khususnya. Zaman kini, semua maklumat hanya di hujung jari. Kita perlu mengambil kesempatan dengan perkara tular yang boleh memberi banyak faedah. Dengan satu klik, segala macam jenis pertandingan dan kempen mampu diketahui oleh semua rakyat Malaysia. Di peringkat sekolah pula, Kementerian Pelajaran Malaysia harus menjadikan permainan tradisional sebagai aktiviti wajib semasa aktiviti kokurikulum di sekolah seperti kata bidalan meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Di bawah Rancangan Satu Murid Satu Sukan, setiap pelajar harus dapat menguasai satu jenis permainan tradisional. Penglibatan generasi muda dapat memajukan permainan tersebut dan mengelakkan daripada lenyap dan pupus begitu sahaja. Berkemungkinan idea seperti memodenkan permainan tradisional selagi tidak mengubah idea asal akan tercipta.

Jika kita lihat pula dari segi keburukan permainan moden yang ada pada hari ini. Ia memerlukan tenaga elektrik atau bateri untuk menggerakkannya atau menjadikannya berfungsi. Justeru selain perlu membeli permaianan tersebut, kita juga perlu membeli bateri. Hal ini menyebabkan kos tambahan diperlukan. Jika dinilai dari sudut sosial pula, permaiann elektrinik ini menjadikan pemainnya cenderung untuk bersendirian dan tidak perlu keluar ke rumah, maka perhubungan sosial antara masyarakat semakin terhakis. Bukan setakat dengan perhubungan sosial di luar rumah, malahan lebih teruk jika interaksi antara ahli keluarga semakin menurun. Tidak akan keluar dari bilik jika permainan elektronik tidak naik ke peringkat lebih tinggi atau naik “level”, sanggup juga tidak makan dan minum, malah ada yang bertambah tertekan dan hidup di dalam kemurungan. Keburukan ini selalu dipandang ringan oleh masyarakat kita seperti hanya melepaskan batuk di tangga.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam melestarikan permainan tradisional kerana bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

 

Terima kasih.

No comments: