TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

REVIEW TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR 2023

Assalam wbt dan Hai, Sebenarnya, kami memang rajin juga bawa anak-anak pergi berjalan-jalan. Jadi sajalah nak kongsikan kepada pembaca tempa...

15 Nov 2021

Karangan Lebuh Raya - Soalan Untuk Hantar CV di Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM)

Assalam wbt dan Hai

Aku ada memohon pekerjaan dengan LLM, ada soalan tentang lebuh raya, jadi aku tulis karangan seperti di bawah. 


SOALAN

“Pembinaan lebuh raya banyak memberi manfaat kepada negara dan rakyat”.

Berikan pandangan anda mengenai kenyataan di atas.

 

Lebuh raya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sebuah negara. Malaysia amnya mempunyai jaringan lebuhraya yang efisien seperti Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Pantai Timur.  Sememangnya lebuh raya memberi banyak manfaat kepada negara dan rakyat.

Manfaat lebuh raya yang paling utama ialah memudahkan perjalanan antara bandar dengan bandar, antara negeri dengan negeri dan juga antara negara dengan negara. Lebuhraya menjadikan seseorang boleh pergi ke mana-mana tempat yang hendak dituju dengan mudah dan menjimatkan masa. Kalau dahulu, perjalanan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang contohnya memakan masa selama lebih kurang lapan belas jam namun kini dengan terbinanya Lebuh Raya Utara Selatan, perjalanan telah dipendekkan menjadi sepuluh jam sahaja. Tambahan pula, lebuh raya memiliki kawasan rehat dan rawat yang menjamin keselesaan kepada penggunanya. Kita berasa sangat selesa dan gembira sepanjang perjalanan.

Selain itu, lebuh raya menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ia memudahkan penghantaran barang ke sesuatu tempat tidak kiralah sama ada dalam bidang pertanian, perkapalan dan perindustrian. Contohnya Malaysia terkenal dengan hasil komoditi pertanian seperti kelapa sawit dan getah dari luar bandar. Dengan adanya lebuh raya, ia memberi peluang memperkasa ekonomi untuk jangka masa yang panjang dengan mengeksport ke negara yang bersempadan dengan Malaysia iaitu Thailand dan Singapura. Kita juga dapat lihat kawasan perindustrian tumbuh bak cendawan di sepanjang lebuh raya. Kawasan yang dahulunya adalah berstatus kurang maju kini sudah dinaiktaraf menjadi kawasan perindustrian, secara tidak langsung menyediakan banyak peluang pekerjaan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran rakyat.

Di samping itu, sistem pengangkutan dapat dimajukan sejajar dengan kemajuan lebuh raya. Dari sinilah tercetusnya inspirasi di mana Malaysia mencipta nama dengan menghasilkan kereta buatan Malaysia iaitu Proton dan Perodua. Ia menambah keselesaan kepada rakyat kerana dapat bergerak ke mana-mana dan bila-bila sahaja. Seterusnya ia turut menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan. Daripada perkhidmatan pengangkutan, pengusaha hotel, pengusaha taman tema dan pengusaha restoran, rata-rata yang terlibat dalam industri pelancongan membantu perkembangan ekonomi negara. Kita juga dapat lihat ramai pelancong dari luar negara juga turut datang ke Malaysia seterusnya menaikkan nama Malaysia di mata dunia.

Kesimpulannya lebuh raya sangat penting dalam memajukan sosio ekonomi sesebuah negara. Walau bagaimanapun, kita mestilah menitikberatkan faktor keselamatan dan prosedur yang ditetapkan supaya tidak akan menggugat keseimbangan alam sekitar. Dari itu, dengan adanya Akta Lebuhraya dan Alam Sekitar, juga badan bertauliah yang dilantik kerajaan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, LLM dalam menyelia dan mengendalikan apa-apa yang berkaitan lebuh raya mampu memastikan lebuh raya sentiasa berkualiti, selamat dan selesa digunakan oleh rakyat.

 

 Nukilan Anakin.

No comments: