Dulu-dulu seawal aku 5 tahun, aku sudah mula berkerja sebagai pemungut getah skrap. Aku kerja dengan mak aku saja. Adalah dalam 5-6 tempat juga. Aku pergi naik basikal je dengan mak aku. kadang-kadang naik motor.
Mula-mula mak aku akan menoreh getah dalam seminggu, lepas seminggu barulah boleh kutip getah. Gambar di bawah semuanya ihsan google. aku tak ada kamera masa zaman kami menoreh getah. Hehe. Nak toreh getah pun ada caranya, nak asah pisau toreh getah pun ada caranya. Kalau kau rasa kau paling pandai buat programming, kau terpaling pandai bedah orang, belum tentu kau tahu macam mana nak asah pisau toreh getah. Setiap orang ada pakar dalam bidang masing-masing. Jadi jangan berlagak sangat seolah-olah kau manusia terpaling pandai dalam dunia ya.
Beginilah konsep getah sudah ditoreh. Kita akan letak cawan getah kat situ. Boleh dibeli di kedai, zaman itu, dalam RM1 juga. Boleh tahan mahal. Sekali toreh pokok getah, tak semestinya boleh penuh dalam masa sehari. kadang-kadang seminggu pun hanya setakat ini. Ini bergantung kepada pokok. Ada kalanya sehari penuh secawan, untuk seminggu dapat 7 cawan getah, yang itu memang best.
Oleh sebab mak aku menoreh getah di kebun orang, jadi pembahagian upah adalah separuh daripada hasil yang kita dapat. Contohnya bila dijual 1 kg bersamaan RM3, jadi RM1.50 adalah bahagian mak aku dan RM1.50 lagi bahagian pemilik kebun getah. Dulu-dulu harga getah sangatlah murah! Murah gile yang sekilo kadang-kadang dalam RM1.50 macam itu aje, circa tahun 1998 - 2004 camtu kot. Kadang-kadang mahal mencecah RM4. Kata orang masa itu, bergantung kepada demand US dan China, mereka tak ada kebun getah kat negara dorang masatu. Ada sekali tahun 2010 gitu kot, harga getah memang bom naik sampai sekilo mencecah RM8. Ramai orang balik kampung mengusahakan getah termasuk kawan aku. Kaya kejaplah.
Masa hari kita nak kutip getah, kami akan sarapan nasi sebab confirm penat. Kalau start dalam jam 7 pagi, dalam 9 pagi juga baru selesai. mak aku menoreh pokok getah agak banyak juga, dalam 1-2 ekar gitu, dalam 100 batang pokok. Kalau aku yang kutip getah, mak aku akan menoreh. Kiranya kerja-kerja mengutip memang sepenuhnya aku yang buat. Kalau aku tak ada, mak aku kutip getah dan menoreh dalam masa yang sama. Masa yang diambil lebih sikitlah, instead 2 jam jadi 3 jam. Masa aku masuk asrama, waktu aku cuti semester saja yang aku boleh tolong mak aku.
Okay ini kejadiah getah yang warna kuning. kalau yang warna putih-putih kebanyakan tak busuk. tapi yang warna kuning macam ini memang busuk giler wey, dah basuh tangan pun masih bau lagi. Kalau korang nak tahu, masa kita pungut getah waktu hari lepas hujan, getah kebanyakannya bersih, kalau hari tengah panas, kering memang lebih busuk baunya.
Lepas dah kumpulkan semua getah yang ada, kita masukkan ke dalam guni dan pembeli getah akan menimbang getah dan dapat duit on the spot. Selalunya mak aku akan bagi upah dalam RM5-RM10 setiap kali pungut getah. Alhamdulillah rezeki, dapatlah makan sedap sikit hari itu. Last mak aku menoreh dalam tahun 2008 agaknya sebab pemilik kebun getah nak tebang pokok nak tanam pokok kelapa sawit. Kebanyakannya mereka tebang pokok getah sebab nak buat rumah juga.
Kenangan seram di kebun getah, setiap kali pungut getah kat mana-mana kebun pun, selalu ada anak pokok getah yang bergoyang-goyang seolah-olah ada orang baru lalu sedangkan aku saja yang ada di situ. kadang aku lari terus tinggalkan baldi penuh berisi getah skrap sebab cuak sangat. Kemudian datang semula bila hati sudah lega. Kadang-kadang ada orang baling batu juga. Tapi sepanjang itu, tak ada jumpa binatang buas, yang itu lagi cuak lebih daripada jumpa hantu. Syukur Alhamdulillah.
Aku pernah ingat, masa aku sekolah asrama dulu, kena buat karangan hari ibu agaknya. Aku share pasal kisah aku dan mak abah aku tapi karangan aku tak terpilih sebab yang menang karangan hari itu adalah kawan kami anak yatim, ayah dia meninggal dunia masa dia kecil lagi.
Okaylah itu aje aku nak share.
Sekian, terima kasih,
No comments:
Post a Comment