TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

REVIEW TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR 2023

Assalam wbt dan Hai, Sebenarnya, kami memang rajin juga bawa anak-anak pergi berjalan-jalan. Jadi sajalah nak kongsikan kepada pembaca tempa...

11 Oct 2023

Seloka Subuh itu Terjemahan Diri

Assalam wbt dan Hai,


SESUNGGUHNYA, SUBUH ITU TERJEMAHAN DIRI 

Jika subuhnya sentiasa dipelihara.
Tanda akan selamat dari neraka.

Jika subuhnya tiada dia tinggal.
Allah melindunginya dari aral.

Jika subuhnya didahului sunat.
Berganda isi dunia dia mendapat.

Jika subuhnya bergelapan ke musolla.
Di kegelapan akhirat mendapat cahaya.

Jika subuh ke cerah berwirid lagi.
Mendapat pahala umrah dan haji.

NAMUN...

Jika subuhnya tiada dijaga.
Pada wajahnya tiada cahaya.

Assalam wbt dan hai,


Jika subuhnya sengaja terlupa.
Tanda imannya tiada bernyawa.

Jika subuhnya terasa berat.
Tanda munafik sudah mendekat.

Jika subuh tiada dipeduli.
Tanda iman menghampiri mati.

Jika subuhnya tiada berjama’ah.
Tanda hidupnya akan hilang barakah.

Jika subuhnya tiada ke masjid.
Tanda imannya ada penyakit.

Jika subuhnya selalu terlewat.
Tanda imannya semakin cacat.

Jika subuhnya diakhir waktu.
Tanda iman semakin kelabu.

Jika subuhnya hari dah siang.
Tanda rezekinya sudah hilang.

Jika di subuh masih berdengkur.
Tanda syaitan memeluknya tidur.




6 Oct 2023

Kisah Mukjizat Rasulullah : Berteduh di Sepohon Pokok

Assalam wbt dan Hai,

Kisah Mukjizat Nabi : Bereteduh di Sepohon Pokok

Rombongan dagang dari Makkah baru sahaja tiba di Syam. Maisarah tidak segera masuk ke pasar. Dia pergi menziarahi seorang rahib Nasrani yang tinggal berdekatan bandar itu. Begitulah selalu apabila dia datang ke negeri asing itu. Sebelum pergi bertemu rahib berkenaan, terlebih dahulu Maisarah meminta kebenaran Nabi Muhammad SAW. Walaupun dia adalah petugas khas yang diwakilkan oleh majikannya untuk menemani dan membantu Nabi, Maisarah sangat memuliakan dan menghormati Nabi.

Dari jauh Maisarah melihat gereja rahib Nasrani yang ingin ditemuinya. Di situlah rahib itu beribadat. Apabila semakin dekat, Maisarah melihat sang rahib sedang berdiri di hadapan pintu biaranya. Kedatangan Maisarah disambut dengan senang hati.

"Dialah nabi umat ini," kata rahib Nasrani kepada Maisarah, sambil pandangannya dihalakan tepat ke satu arah.

Maisarah berpaling untuk melihat apakah yang diperhatikan oleh rahib Nasrani itu. Dia melihat Nabi Muhammad SAW sedang duduk berehat di bawah sepohon kayu tidak jauh dari situ.

"Tidak ada seorang pun yang duduk di bawah pohon itu melainkan dia seorang nabi," kata rahib Nasrani itu lagi.

"Kenapa tuan kata begitu?" tanya Maisarah inginkan kepastian. "Tentu sudah ramai orang yang selalu berteduh di bawah pohon itu."

"Tidakkah kamu perhatikan sewaktu ke mari tadi Adakah di situ memang ada sepohon
kayu?"

"Saya agak tergesa-gesa tadi. Tidak sempat memerhati keadaan sekitar," jawab Maisarah.

"Kamu tidak bertanya kepada teman-temanmu tentang pohon kayu itu?"

"Tidak terfikir pula begitu," jawab Maisarah.

"Kamu sudah pernah datang ke mari. Bagaimana keadaan pohon itu?" rahib Nasrani terus hendak menguji Maisarah.

"Sudah agak lama yang tidak datang ke sini. Saya tidak ingat lagi. Lagipun di sekitar ini banyak pohon kayu," jawab Maisarah.

"Baiklah," kata rahib Nasrani dengan lembut.
"Pergilah dahulu hantar temanmu itu ke pasar. Nanti kamu ke mari semula."

Maisarah pun meninggalkan rahib Nasrani itu. Dia menemani Nabi Muhammad SAW ke pasar untuk memulakan perniagaan.

Tidak lama kemudian Maisarah datang semula. Dia tertoleh-toleh mencari pohon kayu tempat Nabi berteduh tadi. Aneh, pokok tersebut sudah tidak ada di tempatnya.

"Ke mana perginya pokok itu?" soal Maisarah kepada rahib yang memerhatikannya. Rahib itu
hanya tersenyum.

Tahulah Maisarah yang di situ tidak pernah ada sebatang pokok pun. Bermakna, benarlah kata rahib Nasrani itu tadi.


Jom Selawat. 



Terima kasih. 

5 Oct 2023

Kisah Mukjizat Rasulullah: Pokok Menghadap Nabi

Assalam wbt,
Kisah Mukjizat Rasulullah: Pokok Datang Menghadap

Di Kota Makkah, ada seorang lelaki yang gagah perkasa bernama Rukanah bin Abdu. Setiap kali diadakan pertandingan beradu kekuatan, Rukanah pasti akan menang. Tidak ada siapa yang dapat mengalahkannya. suatu hari, Nabi Muhammad SAW bertemu Rukanah bin Abdu. Nabi mengajak Rukanah memeluk agama Islam. Tetapi Rukanah menolak. 

Dengan angkuh Rukanah berkata, "Kalau saya tahu apa yang kamu bawa ini benar, tentu saya akan mengikutimu."

"Bagaimana kalau saya berjaya mengalahkanmu? Mahukah kamu percaya kepada saya?" tanya Nabi Muhammad SAW.

"Baiklah, kalau kamu boleh menjatuhkan saya, saya akan mempercayaimu," balas Rukanah.

Dia yakin Nabi Muhammad SAW tidak akan mampu mengalahkannya. Namun ternyata Nabi bertindak lebih pantas daripada Rukanah. Belum sempat Rukanah membuat serangan, tangan Nabi Muhammad SAW lebih dahulu singgah di dadanya. Rukanah rebah terduduk. Dalam keadaan terpinga-pinga dia bangun kembali. Dia sungguh tidak menyangka Nabi SAW dapat menjatuhkannya dengan begitu mudah.

Rukanah tidak puas hati. Dia menyuruh Nabi Muhammad SAW memukulnya sekali lagi. Dia tidak akan menepis atau mengelak. Rukanah mahu menguji kekuatan pukulan Nabi. Oleh itu, dia hanya bertahan.

Nabi Muhammad SAW pun menghayun tangan Baginda ke dada Rukanah. Rukanah tertolak ke belakang sebelum rebah terduduk sekali lagi. Di dalam hatinya dia tertanya-tanya, bagaimana dia boleh dijatuhkan dengan begitu mudah? Rukanah sungguh tidak menyangka, orang yang dia fikir dapat dikalahkan rupa-rupanya memiliki kekuatan tenaga yang jauh lebih hebat daripada dirinya. Walhal sepanjang pengalamannya beradu tenaga, belum ada lagi orang yang dapat menandingi kehebatannya.

Sekarang rekod itu sudah pun dipecahkan oleh Nabi Muhammad SAW. Selama ini Rukanah memandang rendah kepada Nabi yang dilihatnya bersifat lemah lembut dan tenang. Tidak pernah dia melihat Nabi berwatak keras.

"Hairan sungguh. Bagaimana kamu dapat menjatuhkan saya?" Rukanah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, seperti tidak percaya dengan kekalahannya.

"Ada lagi yang lebih ajaib, Nabi Muhammad SAW memberita Rukanah. "Kalau kamu mahu takut kepada Allah dan mengikut perintah saya, saya boleh tunjukkan."

"Apa dia?" soal Rukanah.

"Saya boleh panggil pohon itu, dan ia akan datang kepada saya," kata Nabi.

"Cubalah panggil, saya mahu lihat."

Nabi SAW memanggil sebatang pokok yang ada di situ. Tidak terfikir oleh Rukanah bahawa pokok itu boleh terbokeh dengan sangat mudah. Kemudian pokok itu bergerak mendekati Nabi. Pokok itu berdiri tegak di hadapan Nabi SAW, seolah-olah sedang menunggu perintah daripada Baginda.

Tercengang-cengang Rukanah bin Abd Seperti tidak percaya, dia melihat pokok boleh berjalan. Pokok itu pergi menghadap Nabi SAW kemudian kembali semula ke tempat asal dengan perintah Nabi. Akar-akarnya yang berselirat di atas tanah menyerap masuk ke dalam tanah semula. Tegaplah kembali pokok itu di situ.

Allah SWT berkuasa menjadikan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan mukjizat yang luar biasa bagi menundukkan musuh-musuh Baginda.




Sekian, terima kasih.