TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

REVIEW TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR 2023

Assalam wbt dan Hai, Sebenarnya, kami memang rajin juga bawa anak-anak pergi berjalan-jalan. Jadi sajalah nak kongsikan kepada pembaca tempa...

5 Oct 2023

Kisah Mukjizat Rasulullah: Pokok Menghadap Nabi

Assalam wbt,
Kisah Mukjizat Rasulullah: Pokok Datang Menghadap

Di Kota Makkah, ada seorang lelaki yang gagah perkasa bernama Rukanah bin Abdu. Setiap kali diadakan pertandingan beradu kekuatan, Rukanah pasti akan menang. Tidak ada siapa yang dapat mengalahkannya. suatu hari, Nabi Muhammad SAW bertemu Rukanah bin Abdu. Nabi mengajak Rukanah memeluk agama Islam. Tetapi Rukanah menolak. 

Dengan angkuh Rukanah berkata, "Kalau saya tahu apa yang kamu bawa ini benar, tentu saya akan mengikutimu."

"Bagaimana kalau saya berjaya mengalahkanmu? Mahukah kamu percaya kepada saya?" tanya Nabi Muhammad SAW.

"Baiklah, kalau kamu boleh menjatuhkan saya, saya akan mempercayaimu," balas Rukanah.

Dia yakin Nabi Muhammad SAW tidak akan mampu mengalahkannya. Namun ternyata Nabi bertindak lebih pantas daripada Rukanah. Belum sempat Rukanah membuat serangan, tangan Nabi Muhammad SAW lebih dahulu singgah di dadanya. Rukanah rebah terduduk. Dalam keadaan terpinga-pinga dia bangun kembali. Dia sungguh tidak menyangka Nabi SAW dapat menjatuhkannya dengan begitu mudah.

Rukanah tidak puas hati. Dia menyuruh Nabi Muhammad SAW memukulnya sekali lagi. Dia tidak akan menepis atau mengelak. Rukanah mahu menguji kekuatan pukulan Nabi. Oleh itu, dia hanya bertahan.

Nabi Muhammad SAW pun menghayun tangan Baginda ke dada Rukanah. Rukanah tertolak ke belakang sebelum rebah terduduk sekali lagi. Di dalam hatinya dia tertanya-tanya, bagaimana dia boleh dijatuhkan dengan begitu mudah? Rukanah sungguh tidak menyangka, orang yang dia fikir dapat dikalahkan rupa-rupanya memiliki kekuatan tenaga yang jauh lebih hebat daripada dirinya. Walhal sepanjang pengalamannya beradu tenaga, belum ada lagi orang yang dapat menandingi kehebatannya.

Sekarang rekod itu sudah pun dipecahkan oleh Nabi Muhammad SAW. Selama ini Rukanah memandang rendah kepada Nabi yang dilihatnya bersifat lemah lembut dan tenang. Tidak pernah dia melihat Nabi berwatak keras.

"Hairan sungguh. Bagaimana kamu dapat menjatuhkan saya?" Rukanah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, seperti tidak percaya dengan kekalahannya.

"Ada lagi yang lebih ajaib, Nabi Muhammad SAW memberita Rukanah. "Kalau kamu mahu takut kepada Allah dan mengikut perintah saya, saya boleh tunjukkan."

"Apa dia?" soal Rukanah.

"Saya boleh panggil pohon itu, dan ia akan datang kepada saya," kata Nabi.

"Cubalah panggil, saya mahu lihat."

Nabi SAW memanggil sebatang pokok yang ada di situ. Tidak terfikir oleh Rukanah bahawa pokok itu boleh terbokeh dengan sangat mudah. Kemudian pokok itu bergerak mendekati Nabi. Pokok itu berdiri tegak di hadapan Nabi SAW, seolah-olah sedang menunggu perintah daripada Baginda.

Tercengang-cengang Rukanah bin Abd Seperti tidak percaya, dia melihat pokok boleh berjalan. Pokok itu pergi menghadap Nabi SAW kemudian kembali semula ke tempat asal dengan perintah Nabi. Akar-akarnya yang berselirat di atas tanah menyerap masuk ke dalam tanah semula. Tegaplah kembali pokok itu di situ.

Allah SWT berkuasa menjadikan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan mukjizat yang luar biasa bagi menundukkan musuh-musuh Baginda.




Sekian, terima kasih. 


No comments: