Assalam.
ABAH IDOLAKU (tajuk hari ini semuanya huruf besar kerana ia sangat penting bagiku)
Aku dedikasikan cerita ini kepada,
Mak kami, Puan Salmah bt Kasman
Adik beradik kami
1) Siti Salha
2) Fara Ummaina
3) Khalid Nor
4) Nor Ziha
“itulah tidak mahu ikut system abah! Kalau ingat system
abah, mesti sudah berjaya”
Ayat itu berlegar di kepalaku. Kini hanya kenangan yang
tinggal. Beliau, abahku sudah kembali ke rahmatullah. Hari ini, tanggal 27
februari 2017, genap empat tahun pergi meninggalkan kami. tidak dapat aku
kongsikan apa yang aku kecapi kerana Perginya abah ketika aku baru mula-mula
berkerja dan majlis persandingan aku hanya berbaki tiga bulan.
gambar selfie terakhir abah. aku curi-curi MMS masa abah telah dikomakan pada tahun 2013, beberapa hari sebelum abah meninggal dunia.
Abah idolaku. Tanpa abah, aku tidak seperti aku yang
sekarang.
Beliau sanggup tidak makan setiap hari kerana ingin
memastikan kami adik beradik tidak berlapar. Beliau sanggup bekerja di bawah
terik matahari hanya kerana mahu memastikan kami boleh belajar di sekolah. Abah
pernah berkerja sebagai buruh binaan. Abah pandai melukis pelan rumah seperti
AutoCAD tetapi versi lukisan tangan mengikut skala sekarang. Bijak bukan? Rumah
kami juga adalah rumah yang abah reka. Oh ya, masjid di kampong kami, bahagian
tempat wuduk di Masjid Kampung Parit Jayus Seri Medan juga adalah rekaan abah
yang masih dikekalkan hingga kini.
Apabila kami meningkat remaja, banyak perbelanjaan yang
perlu ditanggung. Jadi abah mesti berkerja makan gaji supaya memastikan setiap
bulan ada pendapatan tetap. Abah tidak malu untuk memohon perkerjaan sebagai
seorang pengawal keselamatan. Dahulu masa zaman aku bersekolah di sekolah
menengah, apabila ibu dan bapa seseorang itu bekerja sebagai pengawal
keselamatan dan penoreh getah, itu bermaksud dia adalah keluarga yang susah. Aku
adalah salah seorang daripadanya. Aku bangga memberitahu semua orang, abah berkerja
sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Batu Pahat iaitu Wansern Form.
Sehingga kini jika kami lalu di hadapan kilang ini, aku akan menyebut, “ini
kilang abah”.
Aku tidak boleh bayangkan
bagaimana abah boleh tahan dengan perubahan waktu tidur kerana pekerjaan itu memerlukan
sesi siang dan sesi malam secara bergilir-gilir. Setiap hari, abah mungkin
berjalan kira-kira 5 kilometer untuk memastikan kilang tersebut selamat
daripada gangguan pencuri atau perompak. Kakinya sakit dan perutnya lapar
ketika pulang ke rumah tetapi abah tidak pernah merungut. Ada kalanya juga abah
mengadu sakit kaki, tetapi kami faham abah sangat penat. Kami sebagai anak-anak
mestilah membuat perkara yang menyenangkan hati abah.
Dengan bergaji RM1,300 sebulan, abah gunakan untuk membeli
kereta. Kereta bagi kami adalah satu nikmat dunia yang hebat. Ini kerana selama
bertahun-tahun kami hanya menunggang motosikal ke sana ke sini. Datangnya
hujan, berbaju hujanlah kita. Datangnya terik, berpeluh-peluhlah kita. Alah
bisa tegal biasa. Apabila ahli keluarga bertambah, kereta itu penting untuk
memuatkan ramai orang, juga boleh membawa barang-barang, sebab itu abah tidak
kisah untuk membelinya. Kami tersenyum
Dengan bergaji RM1,300 juga, abah membuat pinjaman bank
untuk memperbesar bahagian dapur rumah. Rumah kami rumah lama, rumah tinggalan
datuk dan nenek daripada sebelah abah. Usia rumah juga jauh lebih tua daripada
umur abah. Jadi dengan duit itu, abah membeli barang asas konkrit dan perabot
untuk keselesaan kami. Abah sangat kretif, abah adalah arkitek rumah kami. Mak dan
kami adik beradik pula membantu dari segi tenaga. Hasilnya rumah kami antara
rumah tercantik di dalam kampong. Kami tersenyum.
Yang paling aku tertarik tentang sikap abah ialah abah tidak
pernah mengeluh jika tidak cukup wang. Pantang ada orang datang ke rumah menjaja
barang kecil-kecilan seperti makanan atau pakaian, pasti abah membelinya. Kadang-kadang
kami marah juga sebab sudahlah tiada duit, tetapi perlu juga bagi kepada orang
lain. Abah kata, seelok-eloknya kita perlu berkongsi rezeki dengan orang lain. Dalam
gaji kita ada rezeki orang lain.
Abah sangat garang. Abah mendidik kami berdisiplin. Setiap
hari, ada jadual menutup tingkap, jadual menonton televisyen, jadual belajar,
jadual bermain dan segala jenis jadual. Kalau hendak disenaraikan tidak boleh
itu, tidak boleh ini, mungkin boleh mencecah puluhan muka surat. Abah mahu kami
menggunakan masa sebaik mungkin. Hidup dengan abah memang banyak pantang larang
dan menjaga disiplin. Garangnya abah bertempat. kami juga pernah dirotan. Rotan
abah digantung di kawasan tempat tidur, seakan-akan menjadi mata-mata. Waktu
aku kecil, semua perkara ini merimaskan tetapi apabila menginjak usia, baru aku
faham. Semua ini kesan untuk jangka panjang. Kami tersenyum.
Aku mahu juga cerita perkara yang aku tidak akan lupakan. Jika
kami makan, kami tidak boleh bising kerana sesiapa yang bising, abah akan
tuangkan sepinggan sambal pedas ke atas kepala dia. Aku pernah kena. Memang pedih
mata tetapi memang salah aku sebab mengadu makanan tidak sedap. Adik beradik
juga pernah kena.
Abah juga sangat pentingkan pelajaran. Abah mengajar kami
membaca Alquran selepas selesai menunaikan solat maghrib. Jika berkesempatan,
abah memeriksa buku sekolah kami. Kami juga disuruh membaca sifir kuat-kuat,
seorang demi seorang. Hari ini hafal sifir 2, besok kami perlu hafal sifir 3,
begitulah seterusnya. Aku ingat lagi, abah juga yang menemankan aku pada hari
pertama persekolahan darjah 1. Abah juga di sisi aku semasa hari pendaftaran di
sekolah berasrama dan juga ketika di university. Abah sentiasa ada pada
hari-hari pentingku.
Walaupun abah Nampak garang tetapi abah sayang anak-anaknya,
abah menaiki bas dari batu pahat ke jasin semata-mata ingin mengirimkan seluar
aku yang tertinggal, abah menuliskan surat sewaktu aku pertama kali menjejakkan
kaki ke asrama, abah menelefon aku setiap lima minit jika aku sudah hamper
dengan stesen bas, tujuannya supaya aku tidak tertidur apabila tiba di
destinasi. Abah juga tidak pernah lupa ikan tongkol masak kicap, keledek goreng
dan cucur kelapa adalah menu kegemaranku.
gambar abah ketika muda bersama kakak kami yang sulung.
Abah sanggup berkorban. Waktu aku diterima masuk ke sekolah
berasrama, abah merendahkan diri, meminjam wang untuk membayar yuran dan
keperluan sekolah. Waktu aku diterima masuk ke universiti, abah sekali lagi
menebalkan muka meminjam wang. Harapannya cukup tinggi untuk melihat aku
Berjaya. Semua yang abah lakukan menjadi pemangkin untuk aku belajar
bersungguh-sungguh. Hadiahnya, keputusan aku cemerlang pada setiap peperiksaan
penting dan aku juga tidak perlu membayar semula pinjaman pelajaran. Nasihat
dan didikan abah sangat besar ertinya buat aku. Kini aku sudah bekerja sebagai
seorang jurutera.
Abah sudah buat yang terbaik untuk kami, Cuma aku belum
cukup membalas jasa. Aku masih ingat semua kata-katanya, perbuatannya,
kebaikannya supaya aku terus bersemangat dan terus maju. Tanpa abah, aku tidak
seperti aku yang sekarang. Terima kasih abah ! Semoga abah tenang di sana.
Aku tidak mahu cerita yang sedih-sedih kerana hari ini hari
lahir abah, 14 November. Bagaimana pula cerita inspirasi anda?