TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

REVIEW TEMPAT MENARIK DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR 2023

Assalam wbt dan Hai, Sebenarnya, kami memang rajin juga bawa anak-anak pergi berjalan-jalan. Jadi sajalah nak kongsikan kepada pembaca tempa...

6 Sept 2023

Mukjizat Rasulullah (Bahagian 2): Dipayungi Lelaki Misteri

Assalam wbt,

Hari ini kita sambung Sirah Rasulullah Bahagian 2, Dipayungi Lelaki Misteri

Khadijah binti Khuwailid ialah ahli perniagaan Makkah yang terkenal. Khadijah memiliki harta kekayaan yang banyak. Selain harta kekayaan yang diperolehi hasil usahanya sendiri, dia mewarisi kekayaan yang ditinggalkan oleh suaminya yang sudah meninggal dunia.

Seperti kebiasaan apabila tiba musim berniaga ke luar Makkah, para pedagang dan saudagar Makkah akan mengupah petugas yang diyakini bagi membawa serta menjual barang-barang mereka. Begitu jugalah dengan Khadijah binti Khuwailid. Dia sangat berbesar hati apabila Abu Talib menawarkan anak saudaranya (Nabi Muhammad SAW) untuk membawa barang-barang dagangannya.

Khadijah tidak berfikir panjang lagi. Memang dia sangat memerlukan orang yang jujur, baik budi pekerti dan amanah seperti anak saudara Abu Talib itu.

Bagi memudahkan urusan perjalanan dan di tempat berniaga, Khadijah menugaskan seorang pembantu khas yang bernama Maisarah ikut serta bersama rombongan dagang itu. Antara tugas Maisarah ialah menguruskan makan minum, tempat rehat dan keselamatan sepanjang perjalanan.

Apabila hari semakin panas, anggota rombongan lain yang bergerak bersama mereka mula menunjukkan tanda-tanda keletihan. Tetapi keadaan Nabi Muhammad SAW tidak pula begitu. Baginda tenang sahaja, sedikit pun tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan. Malah Baginda lebih kuat dan bertenaga berbanding anggota rombongan yang lain. Wajah Baginda tidak berpeluh, sebaliknya bersih dan sentiasa berseri dengan senyuman. Maisarah berasa hairan melihat keadaan Nabi Muhammad SAW.

Ketika leka memikirkan keanehan yang disaksikannya itu, Maisarah dikejutkan dengan satu lagi kejadian yang tidak masuk akal. Maisarah jadi bertambah hairan. Dia bertanya kepada orang lain, adakah mereka juga nampak apa yang dia nampak.

"Tidak. Kami tidak nampak apa-apa pun," jawab mereka. "Jangan-jangan kamu berkhayal?" tambah mereka lagi.

"Tidak. Saya tidak berkhayal. Memang saya nampak jelas dengan sepasang mata saya ini," balas Maisarah dengan bersungguh-sungguh.

Keesokan harinya, Maisarah melihat lagi perkara yang sama. Dia melihat dua orang lelaki melindungi Nabi Muhammad SAW daripada panas matahari. Mereka berada di kiri dan kanan Nabi. Anehnya, kaki kedua-dua lelaki itu tidak mencecah bumi. Menjelang petang, apabila cuaca sudah tidak lagi panas, kedua-dua lelaki itu tidak lagi kelihatan.

Pada keesokan harinya, dua orang lelaki yang tidak dikenali itu muncul lagi. Mereka terus melindungi Nabi daripada panas matahari. Maisarah menyaksikan kejadian pelik itu selama tiga hari. Dia mahu bertanyakan hal itu kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi apabila berhadapan dengan Baginda, mulutnya seolah-olah terkunci.

Allah SWT memelihara dan melindungi kekasih-Nya sejak Nabi belum ditabalkan menjadi rasul secara rasmi. Semua kejadian aneh yang berlaku adalah tanda-tanda menunjukkan kehebatan dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW.



Terima kasih. 

1 Sept 2023

Mukjizat Rasulullah SAW - Bahagian 1 : Bayi Luar Biasa

Assalam wbt dan Hai,

Bayi Luar Biasa

Aminah binti Wahab baru sahaja melahirkan seseorang bayi lelaki yang comel. Bapa mertuanya yang bernama bernama Abdul Mutalib ialah orang yang paling gembira dengan kelahiran itu. Abdul Mutalib menamakan cucu kesayangan itu Muhammad yang ertinya terpuji. 

Belum ada lagi orang Arab yang menamakan anak cucu mereka dengan nama Muhammad. Abdul Mutalib berharap apabila semua orang memanggil cucunya Muhammad (yang terpuji), mudah-mudahan suatu hari nanti cucunya akan mendapat kedudukan yang mulia dan terpuji, di sisi manusia lebih-lebih lagi di sisi Tuhan.

Abdul Mutalib tidak dapat bermanja lebih lama dengan cucunya. Bayi comel itu perlu diserahkan kepada ibu susuan. Begitulah tradisi orang-orang Arab yang menetap di Kota Mekah ketika itu. 

Mereka menyerahkan anak mereka kepada ibu susuan yang datang dari daerah pedalaman yang bersih dan segar udaranya. Tempat itu selalunya jauh dari Mekah. 

Suatu hari, datanglah beberapa orang wanita dari desa pedalaman ke Mekah untuk mencari bayi susuan. Mereka tidak mahu mengambil cucu Abdul Mutalib kerana bayi itu sudah tidak ada ayah dan mereka bimbang tidak mendapat upah yang setimpal. 

Seorang wanita yang miskin yang baik hati bernama Halimah tidak mendapat bayi susuan kerana terlambat tiba di Kota Mekah. Tiba-tiba untanya berlari ke arah sebuah rumah. Halimah dan suaminya mengejar unta itu. Ternyata unta itu pergi ke rumah Abdul Mutalib. Setibanya Halimah di sana, dia mendapat tahu Abdul Mutalib mempunyai cucu yang mencari ibu susuan. Sebaik sahaja Halimah melihat bayi itu, Halimah terus jatuh hati kepadanya. 

Halimah dan suamainya pulang membawa bayi bernama Muhammad. Apabila sampai di tempat unta ditambat, mereka terkejut tempat susu unta betina mereka dipenuhi susu. Walhal sebelumnya unta kurus itu langsung tidak ada susu. Sebelum itu pun Halimah sudah terkejut dan hairan. Susu badannya yang sedikit tiba-tiba menjadi banyak. Cukup untuk memberi minum bayi yang akan disusui nanti. 



Dalam perjalanan pulang ke kampungnya, Halimah dan suaminya menerima kejutan lain pula. Keldai yang Halimah naiki dan unta tunggangan suaminya seakan mendapat tenaga baru. Kedua-dua haiwan itu melangkah dengan pantas sekali. Tidak seperti semasa datang ke Kota Mekah. Tidak berapa lama kemudian, Halimah berjaya menjejaki rakan-rakannya yang pulang lebih awal. Malah Halimah pula yang mendahului mereka. 

Kehidupan keluarga Halimah semakin hari semakin makmur. Tanah yang kering-kontang bertukar menjadi subur. Rumput-rumput hijau untuk makanan ternakan tumbuh melata. Kambing-kambing ternakan Halimah menjadi gemuk dan mengeluarkan susu yang banyak. 

Ramai penternak melepaskan kambing-kambing mereka mencari makan di tempat makan kambing-kambing Halimah. Namun, kambing-kambing mereka tidak pula gembuk dan tidak mengeluarkan susu seperti kambing-kambing Halimah. 

Halimah menyedari semuanya berlaku berkat bayi yatim yang dipeliharanya. Bayi yatim itulah Nabi Muhammad SAW.

Jemput follow tiktok saya ye. www.tiktok.com/ferrero_ferrari

Terima kasih kepada yang rajin membaca.